KANGAR: Anak lelaki seorang menteri besar antara enam ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan dokumen dan tuntutan palsu bernilai RM600,000 sejak dua tahun lalu.

Majistret Ana Rozana Mohd Nor membenarkan perintah reman terhadap kesemua suspek bermula hari ini sehingga esok selepas mendapat permohonan SPRM bagi menjalankan siasatan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Menurut sumber, turut ditahan ialah dua penjawat awam di Pejabat Menteri Besar dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, manakala selebihnya adalah kontraktor syarikat.

“Suspek yang ditahan itu dipercayai berperanan sebagai pemilik syarikat, kontraktor dan penjawat awam di Pejabat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pejabat Menteri Besar Perlis.

“Keenam-enam suspek yang berusia 26 hingga 37 tahun itu ditahan antara pukul 7 hingga 8 pagi semalam (Selasa) di sekitar Perlis bagi membantu siasatan,“ katanya.

Menurut sumber siasatan dilakukan berhubung kesalahan pemalsuan dokumen dalam membuat tuntutan palsu sedangkan kerja-kerja berkenaan tidak dilaksanakan.

Katanya keseluruhan projek berkenaan melibatkan kerja-kerja baik pulih, penyelenggaraan, pembekalan dan perkhidmatan bermula dari 2022 sehingga kini dianggarkan bernilai RM600,000.

Sementara itu di Putrajaya, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman mengesahkan penahanan itu.