KPDNHEP sedia pelan kontigensi kawal bekalan hadapi banjir

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyediakan Pelan Kontigensi Kawal Seliaan Bekalan Barang Kawalan dan Keperluan Asas Dalam Menghadapi Fenomena Bencana Alam sebagai langkah proaktif untuk menghadapi banjir tahun ini.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman (pix) berkata pelan kontigensi itu bertujuan memastikan bekalan keperluan asas tidak terputus dan mencukupi ketika musim tengkujuh yang dijangka berlaku bulan depan dan Disember ini.

“Tindakan-tindakan yang dicadangkan untuk dilaksanakan melalui pelan kontigensi ini akan bermula seawal November,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara persiapan dan tindakan yang akan dilaksanakan Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP melalui pelan kontigensi itu ialah mengaktifkan Pusat Arahan Penguatkuasaan di negeri yang terlibat, katanya.

Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP akan mempergiatkan pemeriksaan dan pemantauan ke atas semua rantaian pengedaran barangan makanan samada di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit.

Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP akan membenarkan penambahan had simpanan barang kawalan dan barangan keperluan asas sehingga 30 peratus kepada pemborong dan peruncit terpilih, selain mengadakan kerjasama bersama industri pengeluar dan pengimport barangan kawalan dan keperluan asas bersama agensi kerajaan lain yang terlibat dalam pengurusan bencana alam.

Beliau berkata KPDNHEP akan membantu kumpulan sasar dengan pengagihan lebihan makanan melalui program Foodbank.

Iskandar Halim berkata pegawai penguatkuasa KPDNHEP akan mengambil tindakan keras ke atas mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan seperti menyeleweng, menyorok, enggan menjual, mengenakan syarat jualan atau apa-apa kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan perundangan subsidiarinya.

Ini termasuk kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 seperti melakukan pencatutan atau menjual barang kawalan melebihi harga maksimum yang ditetapkan sepanjang bencana alam banjir berlaku, katanya.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun, manakala badan korporat pula boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM2 juta.

Bagi kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 pula, individu atau bukan pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun manakala pertubuhan perbadanan pula boleh didenda tidak melebihi RM 500,000, katanya. — Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image