MELAKA: Polis mengesahkan bahawa objek yang ditemukan di tanah lapang yang baru dibersihkan di Kampung Solok Jenuang, Ayer Molek di sini, malam tadi, bukan bom seperti yang tular dan dilaporkan penduduk di situ.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Afzanizar Ahmad berkata, pemeriksaan Unit Pemusnah Bom (UPB) mendapati objek tersebut adalah mampatan simen dan besi yang dijadikan batu sempadan tanah atau batu tanda.

Beliau berkata anggota Balai Polis Tiang Dua menerima panggilan orang awam pada 11.05 malam tadi, menyatakan terjumpa sebiji objek yang disyaki bom di kawasan berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati, kawasan berkenaan adalah tanah lapang yang baru dibersihkan menggunakan jentolak dan objek itu terletak di bawah pokok berhampiran Jalan Jenuang iaitu laluan keluar masuk penduduk kampung.

“Sejurus itu, pihak UPB dari Ibu Pejabat Kontinjen Melaka telah dipanggil dan hadir di lokasi kejadian untuk menjalankan pemeriksaan serta siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut beliau kerja-kerja ‘flushing’ oleh UPB diteruskan, bagi memastikan kawasan tersebut bebas dan selamat daripada sebarang bom lama atau bahan letupan lain yang mungkin ada tertanam di lokasi itu.

Tengah malam tadi, tular mesej dan gambar di aplikasi WhatsApp menyatakan sebutir objek dipercayai bom ditemukan di sebuah kawasan lapang, sehingga menggemparkan penduduk sekitar Kampung Solok Jenuang. — Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image