SEARCH

Kelibat buaya dilaporkan di pantai Tg Kubong

25 Dec 2019 / 15:53 H.

LABUAN: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Labuan akan menyiasat laporan seorang penduduk tempatan mengenai kelibat seekor buaya sepanjang 1.5 meter (5 kaki) di pantai Tanjung Kubong berhampiran kawasan bersejarah ‘Gadung Ubat’ di sini.

Kelibat buaya itu dilaporkan oleh seorang pemancing yang dikenali sebagai ‘Acho’ pada 6.50 pagi tadi ketika beliau sedang menuju ke laut untuk memancing.

Menurut seorang pegawai Perhilitan buaya itu mungkin tersasar dari habitatnya di Taman Bakau Kina Benuwa dan sedang berjemur di pantai atau sedang mencari makanan dan itu mungkin buaya sama yang kelibatnya kelihatan di taman bakau itu pada pertengahan tahun ini.

Beliau berkata petugas Perhilitan akan memasang papan tanda amaran bagi mengingkatkan pengunjung pantai agar berhati-hati sekiranya mereka terlihat kelibat buaya.

Pada 30 Julai seekor buaya sepanjang 1.5 meter ditemukan sedang berjemur berhampiran kawasan memancing yang popular di Taman Bakau Kina Benuwa sehingga menimbulkan pelbagai reaksi daripada pemancing serta pengunjung yang lain.

Ini merupakan kali ketiga kelibat buaya dilaporkan di Labuan tahun ini di mana kali pertama ialah di Pantai Mawilla pada 1 Jan lepas. — Bernama

email blast