SEARCH

66 peratus kawasan di KL, Gombak terima bekalan air sepenuhnya - Air Selangor

08 Apr 2021 / 09:30 H.

KUALA LUMPUR: Sejumlah 66 peratus atau 38 daripada 58 kawasan yang terjejas bekalan air di Kuala Lumpur dan Gombak telah menerima bekalan sepenuhnya sehingga pukul 6 pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri dalam kenyataan hari ini memaklumkan pemulihan di kawasan Gombak adalah sebanyak 100 peratus manakala Kuala Lumpur, 57 peratus dengan 20 kawasan masih belum pulih.

Beliau berkata gangguan bekalan air itu adalah disebabkan kerja-kerja penggantian injap pada saluran paip air mentah dari Empangan Klang Gate yang menyebabkan penutupan sementara operasi Loji Rawatan Air di Bukit Nanas dan Wangsa Maju pada Selasa lepas.

“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan.

“Air Selangor berharap para pengguna yang mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan,” katanya.

Status pemulihan bekalan air akan dikemas kini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi Air Selangor termasuk laman sesawangnya www.airselangor.com, aplikasi Air Selangor, Facebook, Twitter dan Instagram atau dengan menghubungi pusat panggilan di talian 15300. -Bernama

email blast