SEARCH

Ahli perniagaan rugi RM1.2 juta disamun geng 36

11 Jun 2021 / 15:00 H.

MELAKA: Seorang ahli perniagaan mengalami kerugian kira-kira RM1.2 juta selepas disamun sekumpulan empat lelaki ahli kongsi gelap Geng 36 di kediamannya di sebuah kondominium di Klebang di sini pada 5 Jun lepas.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali (pix) berkata dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, mangsa yang berusia 54 tahun bersama isterinya, 42, diikat dan diacukan parang namun pasangan itu dan dua anaknya masing-masing berusia 8 dan 9 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata kumpulan suspek berkenaan kemudiannya melarikan pelbagai barangan peribadi mangsa seperti barang kemas, koleksi pedang, wang tunai dan sebuah kereta Range Rover selepas kira-kira lima jam menggeledah rumah mangsa.

“Kumpulan penjenayah itu memasuki Melaka dengan menaiki dua kenderaan iaitu Toyota Hilux dan Vellfire untuk menyamun mangsa yang sebelum ini menjadi sasaran mereka manakala senjata parang yang digunakan dalam kejadian itu diperoleh di rumah mangsa.

“Kumpulan penjenayah itu masuk ke rumah mangsa melalui pintu hadapan selepas mangsa membuka pintu dan keempat-empat mereka tidak memakai topeng ketika melakukan samun,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata susulan kejadian itu, satu pasukan khas ditubuhkan bagi mengesan penjenayah terlibat dan lima lelaki berusia 27 hingga 37 tahun berjaya ditahan dalam satu serbuan di Bandar Baru, Sri Petaling, Kuala Lumpur kira-kira 3.45 petang pada 7 Jun lepas.

Beliau berkata siasatan awal mendapati ahli Geng 36 itu memasuki Melaka menggunakan surat kebenaran pergerakan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri atas urusan perniagaan sekuriti.

“Satu daripada kenderaan yang digunakan suspek juga mempunyai dua pelekat yang dicetak dengan lambang menyerupai logo Polis Diraja Malaysia, dipercayai untuk mengaburi aktiviti jenayah yang dilakukan,” katanya.

Beliau berkata semua suspek yang ditahan mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah serta dadah dan semua mereka ditahan reman selama lima hari sehingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan satu rompakan berkumpulan dan Seksyen 379A KK kerana curi kenderaan.

Dalam perkembangan lain, lima lelaki berusia 34 hingga 65 tahun termasuk seorang pembuat senjata berusia 35 tahun ditahan dan lapan senapang tiruan dirampas dalam serbuan di lima premis kediaman berasingan di sekitar daerah Jasin antara 10 malam semalam hingga 7 pagi tadi.

Abdul Majid berkata siasatan awal mendapati pembuat senjata berkenaan mendakwa senapang tersebut dibuat untuk tujuan memburu dan dijual kepada penduduk tempatan dan kenalan rapatnya sejak lebih setahun lepas.

Beliau berkata sebanyak 91 karton rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM13,170 turut dirampas dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

-Bernama

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali (kiri) -Bernama

email blast