SEARCH

Anak pekerja kedai kopi atasi cabaran catat keputusan cemerlang dalam SPM

11 Jun 2021 / 08:30 H.

SIBU: Ketika kes Covid-19 meningkat mendadak di Sarawak, ketika itulah juga Irwin Casper Vincent, 17, bergelumang dalam perjuangannya untuk mencipta kejayaan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Hari ini anak pekerja kedai kopi ini mampu menarik nafas lega kerana dapat menuai kejayaan yang cemerlang hasil dari perjuangannya sejak dua tahun lepas dengan memperolehi 9A dalam peperiksaan itu.

“Banyak kekangan dan cabaran yang terpaksa saya harungi tapi saya rasa apa yang saya capai hari ini adalah hasil usaha gigih untuk menumpukan perhatian kepada pelajaran, belajar secara pintar dan tidak perlulah sampai belajar 24 jam,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Susulan peningkatan kes Covid-19 di daerah ini bermula Januari lepas, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Lanang ini tidak dapat menjejak kakinya ke sekolah untuk beberapa bulan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan terpaksa membiasakan diri dengan kaedah pembelajaran dalam talian dalam tempoh yang agak singkat.

“Sebelum ini saya dan rakan-rakan sekolah tidak pernah didedahkan dengan sesi pembelajaran secara dalam talian tetapi apabila keadaan Covid-19 tidak mengizinkan pembelajaran secara bersemuka, terpaksalah juga melaluinya bagi memastikan persiapan tidak terjejas,” katanya.

Irwin berkata kaedah pembelajaran dalam talian yang disediakan para gurunya ini membolehkannya mengejar kembali subjek-subjek yang tertangguh berikutan penutupan sekolah namun pada masa yang sama membawa beban baharu dari segi kewangan untuknya.

“Saya gunakan telefon prabayar untuk mendapatkan internet bagi mengikuti sesi pembelajaran ini dan top up (menambah nilai) di antara RM5 dan RM10 sehari yang ada kalanya mencecah sehingga RM70 sebulan. Ini (pembelian tambah nilai) ditanggung ayah saya,” kata anak bongsu dalam tiga adik-beradik ini.

Menurutnya, ayahnya Vincent Ukie, 62, bekerja di sebuah kedai kopi di bandar ini sejak beberapa tahun lepas setelah bersara dari bekerja di sebuah syarikat swasta di sini, sementara ibunya Loh Siu Ing, 54, merupakan seorang suri rumah.

Setelah berjaya mengharungi peperiksaan itu dengan cemerlang, Irwin kini bercadang untuk melanjutkan pelajarannya di institusi pendidikan guru untuk mengejar cita-cita menjadi seorang pendidik. -Bernama

email blast