SEARCH

Anggota polis putus dua jari kaki dilanggar penunggang panik

08 Apr 2021 / 08:05 H.

KUALA LUMPUR: Tindakan seorang penunggang yang panik kerana memiliki dadah dan cuba melarikan diri selepas melihat pemeriksaan mengejut polis di lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan menghala Shah Alam di sini menyebabkan seorang anggota polis kehilangan dua jari kaki kirinya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superintenden Ku Mashariman Ku Mahmood berkata insiden itu berlaku pada kira-kira 1.20 tengah hari kelmarin selepas suspek melanggar seorang anggota polis di hadapannya yang sedang menjalankan tugas bersama pasukan ronda cegah jenayah dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

Beliau berkata anggota polis berusia 34 tahun berpangkat Koperal itu kini menerima rawatan di sebuah hospital di Shah Alam dan suspek yang berusia 49 tahun ditahan selepas polis menjumpai dadah disyaki heroin seberat 11.89 gram dan sebotol cecair dipercayai air ketum.

“Hasil ujian saringan air kencing suspek didapat negatif dadah serta tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau manakala permohonan reman suspek akan dibuat pada hari ini,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Ku Mashariman berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam. -Bernama

email blast