PHNOM PENH: Perenang para negara Fraidden Dawan mendedikasikan pingat emas dimenangi pada Sukan Para ASEAN (APG) ke-12 di Kemboja kepada keluarga yang sentiasa memberi sokongan tanpa berbelah bahagi kepada beliau setiap kali menyertai kejohanan antarabangsa.

Atlet berusia 37 tahun itu berkata isteri, Bibyanna W.J, 39, serta dua anaknya Evangeline Fraidden, 7, dan Frederick Fraidden, setahun, adalah penguat semangat buat dirinya untuk memastikan Jalur Gemilang terus gah berkibar di pentas antarabangsa.

Beliau yang membuat penampilan kali ketujuh pada temasya Sukan Asia Tenggara itu cemerlang menyandang gelaran juara menerusi acara 400 meter (m) gaya bebas S10 (kecacatan anggota kaki) lelaki di Pusat Akuatik di Stadium Morodok Techo.

“Saya sangat berbangga apa yang saya rancang memang menjadi untuk hari ini. Kemenangan ini sudah semestinya untuk Malaysia namun yang paling utama, buat keluarga sendiri sebab mereka sentiasa ada ketika susah dan senang.

“Terutamanya apabila saya adalah atlet sepenuh masa jadi banyak masa dikhaskan untuk berlatih dan setiap kali sebelum menyertai apa-apa kejohanan pasti anak-anak akan bagi semangat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Anak kelahiran Bintulu, Sarawak itu memaklumkan beliau optimis masih mampu menyumbang tenaga buat Malaysia pada kejohanan antarabangsa yang akan datang berdasarkan prestasi yang ditonjolkan hari ini.

“Setakat ini, saya masih nampak mampu untuk beri sesuatu kepada Malaysia dan selagi terdaya, lagipun apa yang saya buat ini adalah demi negara,” ujarnya.

Bagi mengesahkan kemenangan itu Fraidden Dawan bertindak cemerlang merekodkan 4 minit 52.60 saat, bagi meninggalkan pesaing dari Indonesia Sualang Tangkilisan Steven yang mencatatkan 5:12.81s untuk meraih pingat perak dan perenang Vietnam Quach Van Vinh di kedudukan ketiga dengan 5:23.30s.

Fraidden Dawan yang mempertahankan pingat 400m gaya bebas S10 pada edisi lalu di Solo, Indonesia berkata, beliau akan meneruskan perjuangan di Phonm Penh menerusi acara 100m kuak kupu-kupu lelaki S10 dan 200 m rampaian individu SM10 pada Selasa (6 Jun). -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image