SEARCH

Isuzu akan percepat serahan kenderaan selepas operasi disambung semula

19 May 2020 / 19:07 H.

ISUZU Malaysia akan memberikan keutamaan bagi mempercepatkan serahan, terutama bagi mereka yang telah membuat tempahan sebelum tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu bermula.

Sejumlah 300 tempahan bagi pelbagai model Isuzu telah diterima sebelum perintah berkenaan dilaksanakan dan keutamaan akan diberikan untuk memastikan semua pelanggan menerima kenderaan mereka secepat mungkin selepas operasi perniagaan disambung semula kini.

"Walaupun pelanggan memahami keadaan yang menyebabkan kelewatan ini, kami juga faham bahawa ketika di dalam keadaan mencabar seperti sekarang, mereka memerlukan kenderaan Isuzu lebih lagi untuk membantu mereka terus bergerak ke hadapan dengan kecekapannya serta tahan lasak,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Masayuki Suzuki.

“Adalah menjadi matlamat kami untuk memastikan semua pelanggan menerima kenderaan Isuzu D-Max baru mereka secepat mungkin."

Usaha-usaha sedang dijalankan untuk memastikan tempoh memproses kenderaan-kenderaan terbabit menjadi lebih cepat, bermula dari kilang di Pekan, Pahang untuk kemudiannya dihantar kepada pengedar di seluruh negara.

Proses serahan juga kini diperbaharui dan disesuaikan bagi memastikan pelanggan dan staf dilindungi serta selamat, selari dengan prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan oleh kerajaan bagi membasmi penularan berterusan virus Covid-19.

Antara protokol utama termasuk untuk merekodkan suhu badan semua staf sebelum memulakan tugas setiap pagi, penggunaan wajib topeng muka, sanitasi setiap permukaan sentuhan di premis sebanyak tiga kali sehari, sementara kenderaan yang dipamer mahupun milik pelanggan akan disanitasi selepas setiap sentuhan dengan manusia.

Semua pelawat di cawangan Isuzu juga turut dikehendaki untuk diambil bacaan suhu badan mereka menggunakan termometer infra-red, sementara cecair sanitasi tangan serta topeng muka akan disediakan di semua premis terlibat.

Pelanggan yang datang untuk mengambil kenderaan baru mereka akan dimaklumkan tarikh serahan oleh penasihat jualan dan diberikan penetapan masa khusus untuk mengelakkan keadaan sesak di premis.

"Prosedur bagi Sistem Serahan Isuzu telah dikemaskini untuk diselaraskan dengan cadangan dan saranan kerajaan Malaysia dalam berhadapan dengan pandemik ketika ini. Kami percaya, kenderaan Isuzu yang mempunyai nilai tinggi terhadap semua pelanggan akan terus menerima permintaan bagi memenuhi keperluan mereka. Untuk itu, kami berusaha mewujudkan suasana paling kondusif dan selamat untuk semua," jelas Suzuki lagi.

Pemilik kenderaan Isuzu yang tempoh jaminan kenderaan mereka telah tamat ketika tempoh PKP secara automatik akan menikmati lanjutan 30 hari bermula 13 Mei 2020. Sementara bagi kenderaan yang sudah terlepas jadual servis yang sepatutnya pula tidak perlu risau kerana jaminan kenderaan tidak akan terkesan disebabkan kelewatan itu.

Pelanggan yang berhasrat membawa kenderaan mereka untuk diservis adalah dinasihatkan membuat temujanji terlebih dahulu dengan pusat servis rasmi Isuzu mereka memandangkan semua cawangan beroperasi di bawah peraturan PKPB yang ketat mengikut negeri masing-masing ketika ini.

Mengekalkan jarak sosial yang selamat dan sistematik menjadi keutamaan, untuk itu jumlah kenderaan yang diterima untuk servis setiap hari juga akan berpandukan kepada kapasiti di setiap premis terlibat dengan jarak sosial minimum satu meter antara individu.

Untuk mengatur sesi melihat atau pandu uji kenderaan Isuzu, pelanggan yang berminat boleh membuat temujanji melalui laman Facebook Isuzu Malaysia di https://www.facebook.com/ISUZU.DMax.Malaysia/.

$!Isuzu akan percepat serahan kenderaan selepas operasi disambung semula

email blast