Perodua Axia 2019 dibuka untuk tempahan, ada ASA 2.0 dan varian baru

PERODUA kini menerima tempahan bagi Axia 2019 – hatchback segmen-A yang telah diperbaharui untuk menawarkan rakyat Malaysia lebih nilai, lebih gaya serta ciri keselamatan canggih.

Enam varian – E, G, GXtra, SE, AV dan varian baharu “Style” – ditawarkan dengan harga* tentatif RM24,090-43,190, menepati poket, penggunaan dan personaliti berbeza setiap rakyat Malaysia.

Semua varian dikuasakan dengan enjin 1.0 liter 1KR-VE dengan pemasaan injap boleh ubah pintar (VVT-i) yang disambung kepada transmisi manual lima kelajuan pada varian E dan transmisi automatik kawalan elektronik empat kelajuan pada semua varian lain.

“Axia adalah intipati kepada matlamat Perodua, iaitu untuk menawarkan mobiliti yang mampu milik dan mudah buat semua. Lebih 380,000 unit telah menemui pemiliknya sejak pelancaran pertamanya pada September 2014, dan sebenarnya ia menjadi model terlaris kami dari 2015 hingga 2017,” kata presiden dan ketua pegawai eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad.

“Dengan Perodua Axia 2019, kami ingin mengubah pengalaman mobiliti di Malaysia dengan menambah nilai, keselamatan dan gaya untuk memastikan Axia kekal menjadi pilihan pertama anda,” katanya.

Sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA 2.0**) Perodua, yang pertama muncul pada SUV tujuh tempat duduk Aruz pada Januari lalu, kini memasuki model Axia menerusi varian AV, menjadikannya kenderaan dengan ciri yang sedemikian, yang paling mampu milik di Malaysia.

ASA 2.0 terdiri daripada Pengesan Pejalan Kaki (kelajuan sehingga 50km/j), Amaran Pra-Pelanggaran (kelajuan sehingga 100km/j), Brek Pra-Pelanggaran (kelajuan sehingga 80km/j), Front Departure Alert dan Pedal Misoperation Control.

“Dengan membawa ASA 2.0 ke Perodua Axia 2019, kami membawa teknologi keselamatan canggih kepada rakyat, seperti yang kami lakukan dengan Perodua Myvi generasi ketiga pada 2017,” kata Zainal.

$!Perodua Axia 2019 dibuka untuk tempahan, ada ASA 2.0 dan varian baru

Selain itu, semua varian dari GXtra dan ke atas dilengkapi dengan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan kawalan cengkaman (TRC), dan semua varian kecuali E mempunyai ABS dengan Pengagihan Daya Brek Elektronik (EBD).

Axia menjadi Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) pertama di Malaysia semasa pelancarannya pada 2014.

Kini, dengan kecekapan bahan api yang dinilai 22.5km/liter untuk manual, 21.6km/liter untuk auto dan 20.8km/liter untuk varian baharu Style, ia kekal menjadi antara kenderaan yang paling cekap bahan api di negara ini.

“Peningkatan dalam aspek keselamatan dan ciri-ciri tambahan, ditambah dengan kecekapan bahan api, praktikaliti, ruang yang luas, kos pemilikan yang rendah, kemudahan pemanduan dan kebolehpercayaan, dalam masa yang sama kekal mampu milik, Axia kini menawarkan lebih banyak nilai berbanding sebelumnya,” kata Zainal.

Mengenai varian baharu Style, Zainal berkata: “Perodua mengambil langkah baharu dengan Axia Style, ahli keluarga Axia baharu yang akan menampilkan keseronokan dan keaktifan gaya hidup anda!”

“Kami mengalu-alukan orang ramai untuk mengunjungi mana-mana cawangan jualan kami di seluruh negara. Penasihat jualan sah kami bersedia untuk melayani dan membantu anda serta menjawab segala pertanyaan anda mengenai Perodua Axia 2019 yang akan muncul di ruang pameran tidak lama lagi!” kata Zainal.

Axia 2019 didatangkan dengan waranti lima tahun/150,000 km (yang mana terdahulu).

Varian, pilihan warna dan harga* untuk Axia 2019 adalah seperti berikut:

- E, transmisi manual (MT), Ivory White: RM24,090.

- G, transmisi automatik (AT), Ivory White, Glittering Silver, Midnight Blue: RM33,490.

- GXtra, AT, Ivory White, Glittering Silver, Midnight Blue, Lava Red: RM34,990.

- Style, AT, Ivory White, Glittering Silver, Midnight Blue, Sunrise Orange: RM38,890.

- SE, AT, Ivory White, Glittering Silver, Midnight Blue, Lava Red: RM38,890.

- AV, AT, Ivory White, Glittering Silver, Midnight Blue, Lava Red: RM43,190.

*Harga atas jalan tanpa insurans bagi Semenanjung Malaysia.

**ASA adalah sistem bantuan pemanduan yang membantu mengurangkan risiko pelanggaran dan bukan pengganti pemanduan selamat. Sentiasa berwaspada dan berhati-hati ketika memandu.

$!Perodua Axia 2019 dibuka untuk tempahan, ada ASA 2.0 dan varian baru

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image