SEARCH

Perodua sumbang RM2 juta, bekalan perubatan

03 Apr 2020 / 20:46 H.

PERODUA turut menyertai usaha melawan wabak Covid-19 dengan menyumbang RM2 juta kepada Tabung Covid-19 Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Selain sumbangan tunai, Perodua juga telah menyumbang 150 tilam, 200 bantal, 105 kotak air mineral, 15 kipas industri dan 300 pasang kasut getah kepada Hospital Sungai Buloh untuk membantu perjuangan menentang pandemik ini.

“Perjuangan menentang Covid-19 ini adalah tanggungjawab yang dipikul kita semua. Sumbangan bekalan dan tunai oleh Perodua merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk membantu Malaysia dapat pulih secepat mungkin,” kata presiden dan ketua pegawai eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad.

Zainal Abidin telah menyampaikan sumbangan tunai kepada Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pejabat Perdana Menteri sebentar tadi.

Tabung Covid-19 NADMA dilancarkan oleh Muhyiddin pada 11 Mac bagi membantu rakyat yang paling memerlukan bantuan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac.

Berdasarkan laporan, kumpulan sasaran tabung ini termasuk mereka yang tiada pekerjaan serta yang paling terkesan akibat MCO.

Kerajaan juga telah memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat baru-baru ini.

“Kami berterima kasih kepada kerajaan Malaysia atas langkah-langkah ini. Perodua, bersama dengan seluruh rakyat Malaysia, berharap pandemik ini akan selesai dalam masa yang terdekat; juga dengan bilangan kes serta kematian yang minima. Kami juga mengucapkan takziah kepada mereka yang kehilangan orang tersayang akibat Covid-19,” kata Zainal.

“Bagi Perodua, kami telah mengarahkan semua kakitangan, pembekal automotif tempatan dan pengedar sah kami untuk memberi tumpuan kepada keperluan dan kebajikan kakitangan mereka semasa MCO ini.

“Kami juga sedang memantau kesan wabak ini ke atas ekosistem kami serta memastikan gaji, faedah kerja dan pekerjaan warga Perodua terjaga. Kami komited untuk mengamalkan penjarakan sosial seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa untuk membendung penyebaran virus ini.

“Kepada para pelanggan kami secara khusus dan semua rakyat Malaysia secara umum, teruskan tinggal di rumah dan amalkan gaya hidup sihat.”

$!Perodua sumbang RM2 juta, bekalan perubatan

Untitled Document

email blast