KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan percaya pelaksanaan langkah bantuan dan sokongan bagi mendokong ekonomi negara yang kemas dan pemantauan yang rapi mampu mencapai data yang semakin baik, sekali gus menyokong pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 6 hingga 7.5 peratus tahun ini.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (pix) berkata ia secara tidak langsung meletakkan Malaysia di landasan yang lebih baik bagi pertumbuhan ekonomi dalam kalangan negara di rantau ini.

“Walaupun hampir semua negara terjejas oleh wabak dan mencatat pertumbuhan negatif pada 2020, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan pertumbuhan KDNK Malaysia pada 2021 adalah antara yang tertinggi di dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) ke-50 menerusi program Bicara Naratif di TV1, malam ini.

Menurutnya, antara pelbagai faktor yang akan menyumbang kepada pencapaian KDNK yang diunjurkan termasuk harga minyak semasa sekitar US$60 setong, pelaburan berteknologi tinggi dan bernilai tambah dengan kesan pengganda tinggi iaitu aktiviti pembuatan yang memfokuskan kepada elektrik dan elektronik (E&E), peralatan perubatan, aeroangkasa dan bioteknologi.

Katanya, pemacu ekonomi lain yang akan menyumbang kepada pertumbuhan pada 2021 termasuk penyelenggaraan kapal dan pengangkutan maritim, e-dagang, logistik, teknologi pendidikan, pertanian dan petrokimia.

Tengku Zafrul berkata projek infrastruktur berskala besar akan diteruskan bagi pertumbuhan yang dipacu pelaburan seperti Sistem Aliran Transit (RTS) JB-Singapura (RM 3.2 bilion), Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) (RM50 bilion), MRT 2 (RM31 bilion), LRT 3 (RM17 bilion), Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) (RM7.5 bilion) dan pembangunan teknologi 5G (RM15 bilion - pembiayaan sektor swasta).

Katanya, melalui pemantauan rapi MoF, pelbagai langkah kerajaan telah berjaya dilaksanakan dan bantuan bernilai berbilion ringgit telah berjaya disalurkan kepada pelbagai lapisan masyarakat terutamanya golongan rentan, B40, M40 dan mereka yang memerlukan serta pelbagai sektor perniagaan termasuk perusahaan kecil dan sederhana mikro.

“Walau apapun usaha kerajaan, yang lebih penting adalah keberhasilan bagi setiap langkah yang dilaksanakan.

“Melalui usaha MoF dan agensinya, Laksana, selama 13 bulan lepas, pemantauan teliti telah dijalankan bagi mengesan bagaimana peruntukan disalurkan kepada kumpulan yang disasarkan,” kata beliau. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image