KUALA LUMPUR: Gangguan bekalan air berjadual di Wilayah Kuala Lumpur dan Gombak yang terganggu berikutan kerja penggantian injap di jajaran paip air mentah dari Empangan Klang Gates, masih dijalankan dan keadaan belum pulih sepenuhnya.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata sehingga pukul 6.00 pagi ini, Air Selangor masih berusaha untuk menstabilkan sistem agihan bekalan air.

“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dilaporkan bahawa kerja penggantian injap itu menyebabkan penutupan sementara Loji Rawatan Air Bukit Nanas dan Wangsa Maju (LRA) yang akan mengakibatkan gangguan bekalan air berjadual selama 68 jam.

Status pemulihan bekalan air di kawasan terjejas akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui semua saluran komunikasi rasmi Air Selangor termasuk laman sesawang www.airselangor.com, aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter, atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image