KUALA LUMPUR: Polis menahan 10 individu termasuk dua lelaki warga asing kerana disyaki terlibat dalam kes pukul sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki di kawasan Kompleks Metro Pudu di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintenden Ashari Abu Samah berkata kesemua suspek ditahan di sekitar Kuala Lumpur dalam operasi bermula 10.30 malam semalam hingga 12.15 tengah malam tadi oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju serta Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur.

Beliau berkata operasi mengesan dan penahanan itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan pada 12.30 tengah hari semalam berhubung insiden seorang lelaki berusia 29 tahun dipukul di luar pusat hiburan di kawasan Kompleks Metro Pudu, Kuala Lumpur.

“Kejadian dipercayai berlaku pada kira-kira 5 hingga 7 pagi semalam yang menyebabkan mangsa mengalami kecederan di kepala sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan dan disahkan meninggal dunia pada kira-kira 4.40 petang hari yang sama,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Ashari berkata siasatan awal mendapati punca kejadian ialah akibat perselisihan faham dan kes masih dalam siasatan.

Beliau berkata kesemua suspek yang berusia lingkungan 20 hingga 43 tahun itu akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-9289 9222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Balai Polis berhampiran serta dinasihatkan untuk tidak membuat spekulasi dan menimbulkan provokasi berkait kejadian ini,” katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image