BUKIT MERTAJAM: Seramai 12 individu didenda RM3,000 setiap seorang selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menawarkan pinjaman tidak wujud.

Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan menjatuhkan hukuman itu terhadap sembilan lelaki dan tiga wanita dan memerintahkan mereka dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Mereka ialah Muhammad Faisal Zainal Akbar, 22; Chan Zi Quan, 21; Tan Chia Yee, 22; Muhammad Hafiz Shamsul, 26; Foo Shi Jie, 19; Ainul Taherah Johari, 22; Muhammad Syafiq Aiman Mohd Sofian, 19; Muhammad Norzulhilme Sumari, 29; Low Jia Chun, 22; Ryman Shah Razes, 21; Nornajihah Sutiman, 19; dan Ng Zi Xuan, 21.

Mereka melakukan perbuatan tersebut di A-18-Tower A Kondominium BM City, Jalan Perda, Seberang Perai Tengah, pada 12.45 tengah hari 15 Jun lepas.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 120B (2) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara enam bulan atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, kegiatan pinjaman tidak wujud itu beroperasi sejak awal Jun 2022 yang semua tertuduh berperanan sebagai ejen pinjaman wang yang menawarkan wang yang tidak wujud kepada mangsa melalui aplikasi WhatsApp dan seramai 132 mangsa telah membuat laporan polis di seluruh Malaysia dengan kerugian mencecah RM1.91 juta.

Pihak polis turut merampas 28 unit telefon bimbit pelbagai jenama, tiga unit komputer riba, 10 buku catatan yang mengandungi skrip dialog penipuan pinjaman serta maklumat mangsa, sebuah buah beg galas dan sebuah kereta.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengambil kira faktor kepentingan awam dan supaya menjadi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Peguam Benjamin Tan Yo Bin yang mewakili semua tertuduh memohon mahkamah mengenakan hukuman denda yang minimum kerana anak guamnya masih muda dalam lingkungan umur 19 tahun ke 29 tahun dan kebanyakannya tidak bekerja serta merupakan pesalah pertama.

“Semua tertuduh menyesal atas perbuatan mereka dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan tersebut,” katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image