JOHOR BAHRU: Seramai 1,246 jemaah haji di Johor akan berlepas ke tanah suci bagi mengerjakan rukun Islam kelima itu musim ini, dengan penerbangan pertama melibatkan seramai 160 individu pada 19 Jun.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Khalid berkata secara keseluruhannya, di Johor akan melibatkan enam penerbangan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

“Bagi penerbangan pertama pada 19 Jun depan adalah seawal pukul 4.30 petang,” katanya pada sidang media selepas Penutup Program Kursus Perdana Haji peringkat negeri, di sini hari ini.

Sementara itu Mohd Fared berkata Tabung Haji (TH) pada masa sama, sentiasa mengalu-alukan mereka yang ingin membuat permohonan rayuan haji, namun ia tertakluk kepada budi bicara kerajaan Arab Saudi sekiranya kuota tambahan diberikan.

Beliau berkata Malaysia pada musim ini diberikan kuota 14,306 iaitu 45 peratus daripada kuota tahunan yang biasa.

“Daripada 31,000 kuota biasa, Malaysia kali ini dapat 14,306 dan sudah pasti kuota untuk Johor jauh surutnya, dan kita mahu orang awam faham kesulitan yang kita hadapi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad baru-baru ini berkata Malaysia masih menunggu keputusan Arab Saudi berhubung rayuan negara ini untuk diberi kuota tambahan 5,000 jemaah bagi menunaikan haji musim 2022. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image