KUALA TERENGGANU: Hari ketiga banjir di Terengganu menyaksikan jumlah mangsa tidak banyak berubah dengan hanya sedikit peningkatan kepada 140 orang daripada 54 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 135 orang daripada 44 keluarga petang semalam.

Besut menjadi daerah terbaru yang dilanda banjir di Terengganu apabila satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka lewat petang semalam iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baharu yang menempatkan 10 mangsa (empat keluarga).

Menurut kenyataan dikeluarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, terdapat tujuh PPS beroperasi ketika ini iaitu empat di Setiu, Kuala Nerus (dua) dan Besut (satu).

“Di Setiu, jumlah mangsa menurun susulan penutupan dua PPS iaitu Masjid Kampung Merbau Menyusut dan Balai Raya Kampung Bari Besar.

“Ketika ini, mangsa paling ramai ialah di Masjid Gong Terap yang menempatkan 56 mangsa (33 keluarga) diikuti Masjid Chalok Kedai yang menempatkan 19 mangsa (empat keluarga), Balairaya Kampung Bukit Mak Som (13 mangsa, dua keluarga) dan SK Kampung Besut (lapan mangsa, empat keluarga),“ menurut kenyataan itu.

Di Kuala Nerus, mangsa di SK Kompleks Mengabang Telipot ialah 28 orang (enam keluarga) manakala di Surau Mak Jintan jumlah mangsa ialah enam sekeluarga.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan tiada sungai yang melepasi paras bahaya setakat 7.45 pagi ini.

Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu mencatatkan bacaan 12.56 meter (m) melebihi paras amaran 12m. Di daerah Hulu Terengganu pula, Empangan Tembat mencatatkan 430.49m berbanding paras amaran 430m.

Kebanyakan daerah ketika ini hujan dan lebat di sesetengah kawasan. - Bernama