KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) mengunjurkan ambilan guru baharu secara keseluruhan antara 16,886 hingga 20,081 orang bagi tempoh lima tahun.

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata unjuran ambilan guru baharu bagi tempoh 2023 hingga 2027 itu adalah untuk bekalan sekolah menengah dan sekolah rendah KPM berdasarkan data pada 31 Dis tahun lepas.

“KPM akan sentiasa menyemak data unjuran dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) mengenai unjuran pengambilan guru dari 2023 hingga 2027 pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Lim berkata bagi 2021 hingga Januari tahun ini, KPM telah melaksanakan pengambilan seramai 22,327 guru melibatkan 148 bidang pengkhususan melalui kaedah one-off dan Kluster Mata Pelajaran (KMP) sebagai strategi untuk memastikan isu kekurangan guru dapat diatasi.

Beliau berkata bidang pengkhususan yang diberi perhatian antaranya bahasa Inggeris, bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Matematik dan Sejarah dengan urusan pengambilan itu akan berterusan bagi tahun ini dan seterusnya untuk mengisi kekosongan di sekolah.

Menjawab soalan tambahan Saifuddin yang ingin tahu sekiranya kerajaan akan meneruskan kaedah KMP, beliau berkata kementerian akan meneruskan kaedah itu dalam pengambilan guru secara sekali pengambilan kerana terdapat kekosongan jawatan perlu diisi dengan opsyen mata pelajaran yang diperlukan.

“Kita akan teruskan dan juga akan menambah beberapa langkah lagi. Kita memang dalam semakan dan cadangan dan kita akan umumkan apabila kita ada keputusan,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan berasingan daripada Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) berhubung sekolah daif, Lim berkata keutamaan KPM adalah bangunan yang berada pada skala enam dan skala tujuh untuk dinaik taraf atau dibina bangunan gantian mengikut keperluan.

Beliau berkata ketika ini, hampir 80 peratus daripada jumlah sekolah daif terdapat di Sabah dan Sarawak.

“Ini juga menyahut seruan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk KPM memberi tumpuan kepada usaha ubah suai dan naik taraf bangunan sekolah daif terutama di Sabah dan Sarawak,” katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image