GUA MUSANG: Seramai 298 orang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Brooke di sini, menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang diagihkan kepada ibu bapa masing-masing, hari ini.

Sumbangan kerajaan berkenaan disampaikan menerusi agihan yang bertempat di SK Pos Brooke, yang terletak lebih 90 kilometer dari bandar Gua Musang.

Orang asli suku kaum Temiar Zaiton Anjang, 37, berkata dia amat bersyukur dan menghargai keprihatinan kerajaan, memandangkan kebanyakan mereka kini hilang punca pendapatan kerana ancaman haiwan liar di perkampungan mereka.

Beliau berkata bantuan tunai yang diterima, benar-benar membantu masyarakat Orang Asli meringankan beban perbelanjaan persekolahan anak mereka.

“Rasa seronok dan gembira kerajaan bagi bantuan duit untuk anak-anak. Terima kasih kepada kerajaan, bantuan yang diterima ini dapat saya beli keperluan anak-anak seperti beli baju, kasut, beg sekolah dan lain-lain,” katanya ketika ditemui pemberita di SK Pos Brooke, di sini.

Bagi suri rumah Nur Mawar Alieena Pandak, 31, BAP akan digunakan untuk membayar tabung Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG), selain membeli kelengkapan sekolah.

“Alhamdulillah (syukur) dapat bantuan ini untuk anak-anak, dapat juga saya beli barangan persekolahan seperti baju,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Pos Brooke Wan Md Azrul Hisham Wan Mohd Ramli berkata pihak sekolah mengharapkan agar bantuan sebanyak RM150 untuk semua murid itu, dapat digunakan dengan sebaik mungkin untuk manfaat pelajar.

“Di samping itu sekolah juga mengharapkan agar ibu bapa dapat menggunakan wang tersebut untuk membeli kelengkapan sekolah, yang sepatutnya dapat kepada semua murid. Walaupun tidak banyak tetapi dapat juga menampung serba sedikit bagi tujuan pendidikan anak,” katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image