SEARCH

47,332 individu mendapat pekerjaan menerusi program Penjanakerjaya

12 Sep 2020 / 22:57 H.

HULU SELANGOR: Sebanyak 47,332 pencari kerja di seluruh negara telah mendapat pekerjaan melalui Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) sejak ia dimulakan pada 15 Jun sehingga Khamis lepas, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan. (gambar)

Beliau berkata jumlah pengambilan pekerja itu melibatkan 7,196 majikan berdaftar dengan PenjanaKerjaya yang diwujudkan untuk mengurangkan kadar pengangguran dan memulihkan ekonomi negara.

“Sebanyak 8,045 pencari kerja di Selangor telah berjaya mendapat pekerjaan menerusi program ini. Justeru itu, saya menyeru lebih banyak majikan berdaftar dengan PenjanaKerjaya dan portal pekerjaan negara MYFutureJobs bagi membantu rakyat Malaysia yang mencari pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Karnival PenjanaKerjaya Kementerian Sumber Manusia (KSM) Hulu Selangor 2020 di sini, hari ini. Pada karnival berkenaan, lebih 6,500 kekosongan jawatan ditawarkan.

Katanya berdasarkan stastistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), sehingga Khamis lepas sebanyak 79,737 pekerja di seluruh negara telah hilang mata pencarian mereka.

Saravanan berkata sejak pandemik Covid-19 mula melanda negara, kadar pengangguran 3.3 peratus yang dicatatkan pada Februari lepas meningkat kepada 5.3 peratus pada bulan Mei.

“Bagaimanapun, kadar pengangguran menurun kepada 4.9 peratus pada Jun selepas kebanyakan sektor ekonomi dibuka semula semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sekali gus menggambarkan pemulihan awal pasaran pekerjaan negara,” katanya.

Sementara itu, katanya KSM menerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bersama Kementerian Dalam Negeri sedang berbincang untuk mewujudkan latihan khas untuk warga asing yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Saravanan berkata dalam perbincangan itu, KSM yang diwakili Ketua Setiausaha Datuk Jamil Rakon akan memperincikan mengenai skop kerja perkhidmatan kawalan keselamatan dalam negara.

“Baru-baru ini ada kes pengawal keselamatan (warga asing) dibelasah oleh seorang individu. Jika mereka tidak boleh menjaga diri mereka, bagaimana mereka nak jaga kita?,” katanya.

Pada Julai lepas, satu video berdurasi 44 saat tular di media sosial memaparkan insiden seorang lelaki menampar dan memukul seorang pengawal keselamatan yang dipercayai warga asing dengan menggunakan sebatang kayu. -Bernama

email blast