7-Eleven buka 7CAFé, outlet terbesarnya di Puchong

KUALA LUMPUR: Pengendali rangkaian kedai serbaneka 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd (7-Eleven) melancarkan kedai 7CAFé terbesarnya bernilai RM1.8 juta di Bandar Puteri Puchong di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Wong Wai Keong berkata kedai dua tingkat berkeluasan kira-kira 6,000 kaki persegi itu adalah empat kali ganda saiz kedai 7-Eleven biasa.

“Mengenai jangkaan jualan, saya tidak dapat berkongsi jumlah yang sebenar berikutan setiap kedai adalah berbeza, namun secara umumnya, membandingkan 7CAFé baharu ini dengan kedai yang biasa, ia mampu memperoleh jualan enam hingga tujuh kali ganda lebih banyak,“ katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Wong berkata memandangkan kumpulan itu memasuki segmen baharu dalam makanan dan minuman, ia mahu menumpukan pada penyempurnaan standard operasi semua 7CAFé dengan penambahan penyediaan makanan dan pendekatan berorientasikan perkhidmatan.

“Kami mempunyai kaunter untuk makanan, serta makanan yang baru disediakan yang biasanya tidak kelihatan di kedai serbaneka 7-Eleven terdekat anda. Kami mahu pembukaan ini menjadi kesinambungan kepada semua 28 kedai 7CAFé setakat ini,” tambahnya.

Wong berkata kedai 7CAFé juga dibuka dengan perkongsian dengan BookXcess yang menyediakan kedai buku mini manakala bahagian makanan dan minuman dilengkapi dengan pencuci mulut dan kek daripada jenama matcha artisan kontemporari Niko Neko Matcha.

7CAFé oleh 7-Eleven menyasarkan untuk membuka lebih banyak cawangan tidak lama lagi, termasuk di luar Lembah Klang dalam usaha menawarkan tawaran unik untuk kemudahan gaya hidup kepada pelanggan. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image