JOHOR BAHRU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Endau Datuk Abdul Latif Bandi menzahirkan rasa syukur di atas keputusan Mahkamah Sesyen di sini yang hari ini, telah melepas dan membebaskannya dari pertuduhan rasuah dan penggubahan wang haram berjumlah RM35.7 juta, lima tahun lepas.

Beliau yang ditemui di luar mahkamah berkata beliau kini mahu meluangkan lebih masa bersama keluarga.

“Saya bersyukur kepada Allah SWT dan berterima kasih kepada keluarga, barisan peguam dan rakan-rakan yang sentiasa bersama saya. Selepas ini, saya akan lebih banyak meluangkan masa bersama keluarga,” katanya.

Terdahulu, Abdul Latif, 56, bersama anaknya, Ahmad Fauzan Hatim, 30, melakukan sujud syukur di dalam kandang tertuduh selepas keputusan diumumkan Hakim Kamarudin Kamsun.

Abdul Latif yang memakai baju kemeja batik, kemudian turut dilihat memeluk isteri Datin Nor Karmila Md Nor di luar bilik penghakiman, yang kedua-duanya kelihatan sebak bercampur gembira dengan keputusan itu.

Turut dibebas dan dilepaskan adalah perunding hartanah Amir Shariffuddin Abd Raub yang berusia 49 tahun.

Kamaruddin membuat keputusan itu, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Abdul Latif, Ahmad Fauzan Hatim dan Amir Shariffuddin.

Abdul Latif menghadapi 33 pertuduhan rasuah dan 13 pertuduhan penggubahan wang haram, manakala anaknya Ahmad Fauzan Hatim, menghadapi empat pertuduhan melibatkan penggubahan wang haram, manakala Amir Shariffudin, menghadapi 33 pertuduhan rasuah dan empat pertuduhan penggubahan wang haram.

Pada 21 April, 2019, Mahkamah Sesyen Johor Bahru telah melepas dan membebaskan bekas Exco Johor itu, daripada 37 pertuduhan rasuah dan penggubahan wang haram berjumlah lebih RM30 juta, pada 2017. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image