Your Title

Aedes: 852 kompaun dikeluarkan di Selangor sehingga Jun tahun ini

SHAH ALAM: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengeluarkan 852 kompaun kepada pemilik kediaman dan premis perniagaan dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini, kerana membiarkan premis mereka menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga negeri, Dr Siti Mariah Mahmud berkata Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) merekodkan 385 kompaun iaitu yang tertinggi diikuti 135 kompaun masing-masing dikeluarkan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS).

“Kompaun dikeluarkan oleh pejabat kesihatan daerah serta pihak berkuasa tempatan (PBT) menerusi operasi pemantauan dan pencegahan denggi yang dilakukan dari semasa ke semasa.

“Tindakan tegas diambil terhadap pihak yang enggan memberi kerjasama serta masih berdegil. Kes denggi tinggi berikutan pertambahan bilangan penduduk dan ia semakin membimbangan apabila masyarakat mengabaikan aspek kebersihan,“ katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini hari ini.

Dr Siti Mariah (Amanah-Seri Serdang) berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Michelle Ng Mei Sze (DAP-Subang Jaya) berhubung jumlah kompaun kes denggi yang dikeluarkan sepanjang tahun ini.

Beliau berkata untuk kes demam denggi di Selangor setakat ini pula, ia merekodkan trend penurunan dengan 9,415 kes direkodkan pada Januari, Februari (6,797 kes), Mac (4,782 kes), April (3,118 kes), Mei (2,831 kes) dan Jun (3,188 kes).

“Statistik menunjukkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah mengurangkan kes denggi apabila bilangan mereka dijangkiti menurun pada Mac sehingga Jun,“ katanya.

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image