KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan rasa sukacita dan bangga, khususnya kepada ibu bapa dan pelajar daripada golongan Orang Kurang Upaya (OKU), yang tidak bernasib baik dan B40, yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang diumumkan Khamis.

Turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga kepada golongan itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menurut catatan Facebook Istana Negara hari ini, kejayaan cemerlang golongan itu membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh kita mampu bersaing dan berjaya.

Ia juga membuktikan bahawa kejayaan boleh dicapai jika ada kemahuan, menurut catatan itu.

“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan harapan agar keputusan cemerlang itu menjadi titik permulaan untuk mereka mendepani langkah seterusnya ke arah kejayaan di masa hadapan dan juga sumber inspirasi kepada semua lapisan masyarakat,” menurut Istana Negara.

Menurut Istana Negara, Seri Paduka menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada pelajar-pelajar cemerlang dan mendoakan semoga mereka dilimpahi kejayaan berterusan.

Selain itu, Seri Paduka berdua turut menzahirkan penghargaan kepada para tenaga pengajar dan guru-guru yang membimbing dan mendidik pelajar-pelajar, menurut catatan itu.

Menurut Istana Negara, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada pelajar-pelajar SPM 2022 yang menerima keputusan baru-baru ini.

Kepada yang tidak memperoleh keputusan yang baik, ia bukan pengakhiran, sebaliknya harus bangkit kuat dengan tekad dan azam untuk cipta kejayaan baharu, menurut catatan itu. -BERNAMA

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image