KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan tahniah kepada bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob, atas kejayaan menamatkan pengajian dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), semalam.

Turut menzahirkan ucapan tahniah, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menurut catatan di akaun Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga di atas kejayaan Adnan yang sekali gus membuktikan bahawa usia bukan halangan untuk mencapai kejayaan cemerlang.

“Seri Paduka Baginda berdua menyeru rakyat meneladani kejayaan Tan Sri Adnan yang juga membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, kita mampu bersaing dan berjaya.

“Tan Sri Adnan Yaakob menerima Ijazah Sarjana Muda Undang-undang pada usia 72 tahun di Istiadat Konvokesyen UIAM ke-38. Ia lebih bermakna apabila beliau turut menerima anugerah Senarai Rektor kerana menampilkan prestasi cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.62,” menurut hantaran itu.

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Adnan dan mendoakan beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan.

Adnan pernah berkhidmat sebagai Menteri Besar Pahang dari 1999 hingga 2018.

Beliau adalah Menteri Besar Pahang yang paling lama berkhidmat iaitu selama 19 tahun sebelum melepaskan jawatan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image