PUTRAJAYA: Tiada logo Umno atau DAP akan dipaparkan dalam kertas undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata hanya dua parti utama yang telah diputuskan akan bertanding pada PRN itu nanti, iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), bagi menentang Perikatan Nasional (PN).

“Saya hanya nak beri kefahaman kepada pengundi di luar sana bahawa tiada logo Umno atau logo DAP dalam PRN ini, kerana kita bertanding itu berkumpulan dalam parti Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Dokumen Piawaian Pelaburan Mampan (SIS) di sini hari ini.

Ahmad sebelum ini dilaporkan meminta ahli Umno mengundi calon DAP di kawasan masing-masing pada PRN akan datang, bagi mengukuhkan Kerajaan Perpaduan.

Enam negeri yang bakal mengadakan PRN adalah Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image