KUALA LUMPUR: Kejohanan Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Bangkok, Thailand, menjadi igauan buruk buat pasangan juara dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik, pada perlawanan pertama peringkat kumpulan mereka, semalam.

Pasangan nombor empat dunia itu, sekali lagi tewas kepada juara dunia tiga kali pasangan Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia 12-21, 15-21 pada perlawanan Kumpulan B mereka, di Arena Nimibutr Arena, semalam.

Berdasarkan kepada rekod pertemuan mereka, pasangan Indonesia itu kini memenangi lapan daripada 11 pertemuan mereka.

Dengan hanya dua pasangan terbaik setiap kumpulan layak ke separuh akhir, Aaron-Wooi Yik kini perlu memenangi baki dua perlawanan peringkat kumpulan mereka iaitu menentang pasangan Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi dari China dan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark, pada esok dan Jumaat.

“Kami cuba mengganggu ritma permainan mereka pada set pertama, namun mereka terus dapat mengawal perlawanan, jadi kami hilang sedikit keyakinan kami,” kata Aaron dalam temu bual BWF.

Wooi Yik melahirkan kekecewaannya kerana tidak dapat bangkit dari awal permainan yang perlahan bagi memberikan tentangan untuk bangkit, pada pertemuan yang dirasakan mempunyai peluang sama rata untuk menang.

Perlawanan Kumpulan A pula menyaksikan, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi tewas 19-21, 16-21 kepada Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun, dan akan bertemu Choi Sol Gyu-Kim Won Ho dari Korea Selatan esok.

Sementara itu, pasangan beregu campuran persendirian negara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menjadi satu-satunya wakil Malaysia yang menang pada hari pertama, dengan mengejutkan juara Olimpik Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping dari China 23-21, 14-21, 21-16, pada perlawanan Kumpulan B.

Pasangan nombor lapan dunia itu, akan berhadapan satu lagi tugas berat apabila berhadapan pasangan Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand esok, dengan kemenangan pada perlawanan itu akan mengesahkan tempat mereka ke separuh akhir, sebelum menghadapi perlawanan terakhir kumpulan B, dengan beremu satu lagi pasangan Thailand Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran.

Perlawanan Kumpulan A beregu campuran pula, menyaksikan wakil negara Goh Soon Huat-Shevon Lai tewas 12-21, 15-21 kepada Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari dari Indonesia.

Kategori beregu wanita pula menyaksikan pasangan nombor sembilan dunia Pearly Tan-M.Thinaah tewas kepada pasangan ke-14 dunia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia 21-23, 19-21, dalam perlawanan Kumpulan B.

Juara Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu, seterusnya akan berhadapan pasangan nombor satu dunia Chen Qingchen-Jia Yifan dari China esok, sebelum menamatkan perlawanan peringkat kumpulan dengan berhadapan satu lagi pasangan dari China Zhang Shu Xian-Zheng Yu, pada Jumaat.

Satu lagi wakil negara dalam beregu wanita, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien pula tewas kepada Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong dari Korea Selatan 18-21, 13-21, sebelum menentang pasangan tuan rumah Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard, hari ini. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image