KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa pihak polis mengambil tindakan terhadap individu dan parti politik yang disyaki mencetuskan ‘api’ perkauman dalam media sosial sehingga boleh menggugat ketenteraman awam.

Pengarah Mobilisasi Parti Amanah Negara Mohd Sany Hamzan berkata pihaknya mengesan beberapa hantaran dimuat naik di laman sosial baru-baru ini terutamanya ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), yang menyebarkan isu serta percakapan berbaur kebencian dan perkauman di negara ini.

“Perkongsian di media sosial ini disifatkan sebagai menyentuh isu perkauman dan cubaan untuk menyemai kebencian dalam kalangan rakyat negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum. Jika dibiarkan boleh membawa kepada perpecahan.

“Sebab itu saya meminta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar ambil tindakan tegas dan segera kerana doktrin-doktrin agama yang dimainkan oleh pelampau agama dalam PRU15 serta isu perkauman ini, dibimbangi boleh menghancurkan negara dengan memesong pemikiran anak-anak muda,“ katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini hari ini.

Mohd Zany yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat, berkata polis perlu melakukan siasatan dengan seadilnya dan mendakwa mereka yang memuat naik kandungan berbaur sentimen perkauman serta agama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut dan kes diserahkan kepada polis Bukit Sentosa, Rawang, Selangor, untuk tindakan lanjut. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image