LAHAD DATU: Seekor anak gajah mati akibat dilanggar sebuah kereta Perodua Viva dalam satu kemalangan di Kilometer 13 Jalan Lahad Datu-Sandakan, awal pagi tadi.

Pegawai Jabatan Hidupan Liar Lahad Datu Sylvester Saimin ketika dihubungi berkata kejadian itu berlaku kira-kira 2.16 pagi dan anak gajah spesis Gajah Pygmy Borneo itu mati di lokasi kejadian.

“Pemandu kenderaan terbabit pula dipercayai tidak mengalami kecederaan namun kenderaan yang dipandunya rosak di bahagian hadapan,“ katanya hari ini.

Menurutnya kejadian itu berlaku dipercayai berlaku apabila anak gajah berkenaan secara tiba-tiba melintas jalan menyebabkan pemandu terbabit tidak dapat mengelak lalu melanggar haiwan mamalia itu.

“Jabatan Hidupan Liar Lahad Datu kemudian melakukan post mortem sebelum menanam bangkai anak gajah berkenaan,“ katanya lagi. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image