KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi penghormatan terakhir kepada bekas Presiden China mendiang Jiang Zemin di Kedutaan China, di sini hari ini.

Anwar juga menandatangani buku takziah untuk mendiang Jiang Zemin dan memuji pencapaian dan sumbangan beliau kerana memainkan peranan luar biasa dalam mengemudi dan mengukuhkan hubungan China dengan Malaysia khususnya dan ASEAN secara amnya semasa tempoh pemerintahan mendiang dari 1993 hingga 2003.

“Dengan penuh kesedihan dan pilu mendengar pemergian bekas Presiden Tuan Yang Terutama Jiang Zemin.

“Bagi pihak kerajaan Malaysia dan rakyat, kami mengucapkan takziah dan simpati yang tulus kepada kerajaan dan rakyat Republik Rakyat China.

“Beliau akan sentiasa dikenang kerana kepimpinan dan legasinya yang cemerlang semasa proses reformasi, pembukaan dan pemodenan China.

“Ingatan dan doa saya bersama keluarga mendiang H. E Jiang Zemin serta rakyat Republik Rakyat China, pada saat kehilangan seorang negarawan yang cemerlang,” tulis perdana menteri dalam buku takziah.

Turut hadir Menteri Luar Senator Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing.

Jiang Zemin, 96 tahun, meninggal dunia akibat leukemia dan kegagalan pelbagai organ di Shanghai pada 12.13 tengah hari, 30 Nov.

Pengebumian negara akan diadakan di Dewan Besar Rakyat, Beijing, China hari ini. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image