KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta Peguam Negara untuk mengkaji semula cadangan agar diwujudkan badan bebas dalam mengambil tindakan dan menyiasat semua aduan, tuduhan dan salah laku membabitkan semua badan penguatkuasaan.

Beliau berkata ini bagi memastikan badan penguatkuasaan yang terlibat dalam kes salah laku tidak menyiasat sendiri secara dalaman mana-mana kes atau aduan diterima membabitkan pegawai atau anggota mereka.

Perdana Menteri berkata ini melibatkan badan penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya telah minta Peguam Negara kaji semula cadangan awal supaya ada mekanisme untuk semua badan penguatkuasaan kalau ada pertuduhan khas terhadap pegawai SPRM, Imigresen, polis, kastam, maka ada badan bebas, (mungkin) dalam bentuk suruhanjaya, belum pasti.

“Sudah ada arahan kepada Peguam Negara untuk kemuka cadangan supaya badan penguat kuasa ini tidak menyiasat sendiri, tapi ada badan lain yang bebas menyiasat, perkara ini saya rasa tidak begitu sukar kerana ada cadangan awal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini bagi menjawab soalan tambahan Gobind Singh Deo (PH-Damansara) berhubung langkah kerajaan dalam memastikan siasatan dibuat terhadap pegawai agensi pengkuatkuasaan seperti SPRM, dibuat secara bebas.

Anwar berkata cadangan penubuhan badan bebas berkenaan ketika ini dilihat wajar kerana ia lebih menyeluruh dan boleh mengambil tindakan terhadap semua aduan membabitkan badan pengkuatkuasaan.

“Bila timbul isu Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang dipertikai polis ialah mengapa dituju khusus untuk mereka padahal permasalahan itu harus melibatkan semua agensi penguatkuasaan,” katanya.

Dalam pada itu menjawab soalan asal Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah), Anwar berkata undang-undang sedia ada menjamin kebebasan SPRM dalam menjalankan siasatan dan tidak tertakluk di bawah arahan Perdana Menteri.

“Sebab itu, bila saya ambil alih saya memilih untuk tidak menukar Ketua Pesuruhjaya SPRM yang dilantik Pagoh untuk tidak menimbulkan persepsi bahawa seorang Perdana Menteri akan melantik seorang ketua SPRM yang baharu, sebab itu saya kekalkan,” katanya.

Terdahulu Mas Ermieyati meminta Perdana Menteri menyatakan kesediaan kerajaan melaksanakan syor daripada Transparency International Malaysia (TI-M) supaya SPRM diletakkan di bawah bidang kuasa Parlimen dan bukan lagi di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi memastikan proses semak dan imbang lebih telus.

Anwar berkata beliau tidak mempunyai masalah untuk mempertimbangkan syor TI-M tersebut, namun penelitian terhadap syor itu mesti dibuat secara menyeluruh dari semua aspek dan melibatkan semua pihak.

“Kita juga tentulah sebaik ada perkembangan syor ini harus dikemukakan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk meneliti supaya keupayaan SPRM akan dapat ditingkatkan dan tidak ada kekangan dan campur tangan yang dibimbangi akan menjejaskan usaha pelaksanaan membanteras rasuah,” katanya.

Katanya untuk memperkukuh kedudukan, SPRM dipantau lima badan pemantau bebas iaitu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Jawatankuasa Aduan (JKA), Panel Penilaian Operasi (PPO), Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR).

Menjawab soalan tambahan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) sama ada Perdana Menteri ingin meneruskan cadangan berhubung akta pendanaan politik, Anwar berkata, perkara itu masih di peringkat menteri bertanggungjawab. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image