PUTRAJAYA: Kerajaan Perpaduan tetap teguh mempertahankan prinsip Perlembagaan Persekutuan yang menjunjung Islam sebagai agama Persekutuan dengan memberi ruang serta kebebasan hak dan agama lain, seperti yang terjamin dalam perlembagaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata sebarang usaha untuk mengadu domba serta menghangatkan ‘suhu’ perbezaan kaum dan agama di negara ini tidak akan diizinkan.

“Kalau ada beberapa isu (agama dan kaum) yang berbangkit, ia harus dileraikan dengan baik supaya jangan ada perseteruan, salah sangka atau prasangka,“ katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Mendedahkan terdapat usaha pihak tertentu meniupkan sentimen kaum dan agama, Anwar berkata beliau telah mengarahkan pasukan keselamatan untuk berwaspada bagi menjaga keamanan negara agar sentimen itu tidak digunakan untuk menimbulkan kekacauan.

“Jadi sekiranya tindakan itu melampau, menganggu gugat, pihak keselamatan akan keras dan tegas bertindak,“ katanya, bagaimanapun menurutnya keadaan pada masa ini terkawal.

Beliau berkata sekiranya terdapat apa-apa pelanggaran peraturan atau menimbulkam sedikit sebanyak sensiviti kaum, perkara itu harus dileraikan melalui perundingan.

Anwar berkata Kerajaan Perpaduan dengan dasar yang jelas ke arah Malaysia Madani teguh dalam mempertahankan nilai dan akhlak serta kukuh dengan semangat untuk menyatu spadu rakyat pelbagai kaum dan agama.

“Jadi, kenyataan-kenyataan yang tidak bertanggungjawab tidak boleh diguna pakai kerana kita tidak boleh lari dari kenyataan bahawa Malaysia ini harus aman, tertib, dibangunkan oleh Melayu dan Bumiputera, Cina, India, suku-suku kaum Dayak, Iban, Melanau, Kadazan dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata Kabinet Kerajaan Perpaduan adalah bersama-sama dalam hal untuk memastikan keamanan dan perdamaian semua kaum dipertahankan dan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana usaha yang menganggu gugat keselamatan negara. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image