ALOR GAJAH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan menggagalkan cubaan menyeludup keluar kira-kira 26 kilogram (kg) dadah dipercayai syabu bernilai RM1.04 juta ke negara jiran di perairan Tanjung Sepat, Selangor, Isnin lepas.

Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan Kapten Maritim Iskandar Ishak berkata dadah berkenaan ditinggalkan dalam sebuah beg pakaian yang diletakkan di tepi tebing pantai Kampung Tumbuk, Tanjung Sepat.

“Beg pakaian itu ditemukan oleh lima anggota APMM yang melakukan rondaan khas kira-kira 10 malam namun tiada sebarang bot atau individu dijumpai di kawasan berkenaan.

“Beg kemudian dibawa naik ke atas bot APMM dan pemeriksaan menemukan 26 bungkusan berwarna kuning berisi hablur kristal dianggar seberat sekilogram setiap satu bungkus,“ katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata bekalan dadah tersebut dipercayai diperoleh dari negara ini sebelum cuba diseludup keluar sindiket pengedaran secara terancang menggunakan laluan darat dan laut.

Iskandar berkata berdasarkan risikan, dadah tersebut akan dibawa oleh ‘transporter’ darat (ejen pengangkut) ke tepi tebing tersebut sebelum diambil ahli sindiket lain melalui jalan laut untuk diseludup keluar ke negara jiran.

Beliau berkata ketika rondaan itu dijalankan, beg berisi dadah berkenaan disyaki baharu sahaja ditinggalkan di tepi tebing pantai tersebut sebelum dijumpai anggota APMM.

Menurutnya dadah tersebut dipercayai boleh dibekalkan kepada 56,000 penagih manakala harga setiap satu kilogram dadah berkenaan di pasaran negara jiran adalah sekitar RM100,000 hingga RM200,000.

Katanya kes berkenaan sedang disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image