PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Kelantan menahan sebuah bot nelayan bersama lima kru termasuk tekong warga Vietnam berusia lingkungan 34 hingga 41 tahun kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan Kapten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata ketika kejadian pada 8.02 pagi, pihaknya yang menjalankan rondaan Op Khas Naga Barat, Op Khas Kuda Laut dan Op Damai dengan Kapal Maritim Amanah mengesan sebuah bot berwarna biru dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata nelayan terbabit bertindak agresif apabila didekati dan melakukan beberapa percubaan bahaya malah awak-awak turut melepaskan tali yang panjang ke dalam air untuk menghentikan kipas kapal.

“Pada 8.44 pagi, bot itu berjaya ditumpaskan pada jarak 163.8 batu nautika dari muara Tok Bali, Pasir Puteh dan perjalanan membawa tahanan serta bot ke Jeti Maritim Negeri Kelantan mengambil masa kira-kira 28 jam sebelum tiba pada 12.15 tengah hari semalam.

“Rampasan membabitkan sebuah bot, peralatan menangkap ikan, bahan bakar diesel kurang 1,000 liter serta alatan komunikasi dan navigasi bernilai keseluruhan RM1.23 juta,“ menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Syed Nor Adli berkata kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap atau cuba menangkap ikan di perairan Malaysia.

“Kru dan tekong bot juga tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963,“ katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image