PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup satu juta batang rokok putih bernilai lebih RM1 juta di Tumpat, Selasa lepas.

Pengarah Maritim Kelantan Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata ia hasil kejayaan selepas bot peronda APMM mengesan sebuah bot pancung dalam keadaan mencurigakan bergerak laju ke perairan muara Tumpat pada 3.30 pagi.

“Bot peronda bertindak mengejar bot pancung sehingga memasuki perairan alur Sungai Padang Tambun.

“Keadaan sungai yang cetek menyebabkan bot peronda terpaksa bergerak perlahan seterusnya meminta bantuan pasukan darat untuk mencari bot pancung di kawasan sekitar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat APMM Kelantan di sini hari ini.

Syed Nor Adli berkata semasa melakukan pencarian, pasukan APMM menemukan dua lori di tebing Sungai Tambun pada 6.10 pagi dan dipercayai terdapat barangan seludup dipindahkan daripada bot yang dicari ke dalam dua lori tersebut.

“Pemeriksaan pada lori pertama menemukan 70 bungkusan plastik hitam manakala 30 bungkusan plastik hitam di dalam lori kedua.

“Kesemua 100 bungkusan tersebut mengandungi kira-kira satu juta batang rokok putih yang dianggar bernilai RM1.04 juta termasuk cukai. Dua lori itu dianggar bernilai RM55,000,” katanya dan menambah kes disiasat lanjut di bawah Akta Kastam 1967. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image