Your Title

WASHINGTON: Apple mengancam untuk mengeluarkan Twitter daripada kedai aplikasinya (apps store) serta meminta pengubahsuaian tertentu pada platform media sosial, Ketua Pegawai Eksekutif Twitter Elon Musk mengesahkan pada Isnin, lapor Sputnik.

“Ya”, Musk berkata apabila ditanya sama ada Apple mengancam kehadiran Twitter atau menuntut perubahan pada platform media sosial itu. “Apple juga mengancam untuk menyekat Twitter daripada App Storenya, namun sebabnya tidak dimaklumkan kepada kami.”

Terdahulu pada Isnin, Musk menyiarkan tinjauan pendapat yang bertanya kepada pengguna Twitter sama ada Apple wajar menyiarkan semua tindakan penapisan yang dilakukannya yang telah menjejaskan pelanggannya.

Tinjauan itu akan ditutup pada petang Selasa, dengan setakat ini sejumlah besar pengguna Twitter menyokong Apple kerana ia lebih telus mengenai sebarang tindakan penapisan yang mungkin telah diambilnya.

Minggu lepas, Musk berkata beliau akan mencipta telefon pintar baharu jika rangkaian sosial itu dikeluarkan daripada Apple dan Google app stores.

Musk melakukan tinjauan itu selepas firma bernama LBRY, yang mengendalikan perkongsian fail dan pembayaran untuk rangkaian sosial, menyiarkan kenyataan di Twitter yang mendakwa Apple menetapkan supaya aplikasinya menapis beberapa istilah carian daripada dipaparkan dan jika tidak aplikasi Twitter tidak akan dibenarkan dalam Apple app store.

Pada 28 Okt, Musk memuktamadkan pemerolehan Twitter membabitkan bayaran berjumlah AS$44 bilion. Berikutan pengambilalihan itu, Musk mengubah operasi harian syarikat, termasuk pemberhentian eksekutif Twitter yang bertanggungjawab ke atas privasi platform, keselamatan siber dan penapisan, serta kira-kira dua pertiga daripada pekerja Twitter.

Ketiadaan eksekutif App Store utama Apple, Phil Schiller daripada Twitter mencetuskan spekulasi bahawa gergasi teknologi itu semakin bimbang tentang pengendalian platform media sosial oleh Musk, termasuk mengembalikan semula akaun yang disekat. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image