SEREMBAN: Pemain industri perlu menitikberatkan aspek penyelenggaraan kebakaran bagi mengelak insiden yang boleh meragut nyawa penghuni serta pengunjung bangunan pencakar langit di negara ini.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata pada 2019, Malaysia merekodkan lebih 900 bangunan pencakar langit termasuk kediaman yang mempunyai ketinggian melebihi 150 meter, justeru ia memerlukan strategi keselamatan kebakaran dan pertahanan keselamatan kebakaran yang baik di dalam bangunan.

“Dalam aspek kebombaan di seluruh dunia, memadam kebakaran luaran tidak begitu berkesan, memadam kebakaran dalaman adalah yang paling berkesan. Kita kena tahu punca berlakunya kebakaran untuk memastikan ia boleh dipadam dan dikawal dan penghuni boleh menyelamatkan diri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kesedaran Keselamatan Kebakaran, Penyelenggaraan dan Penguatkuasaan Dalam Bangunan Peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.

Beliau berkata rata-rata pembinaan dan perancangan bangunan di negara ini mematuhi kod amalan dan kod piawaian serta undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan dan bangunan tersebut akan selamat, selagi ia diselenggara dengan baik.

Maka, dengan itu katanya pemain industri perlu sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang dan keperluan teknikal serta penyelenggaran yang baik selain memastikan kemudahan pencegahan kebakaran dapat berfungsi dengan baik.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata JBPM telah mengeluarkan 11,881 notis Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK) daripada 9,617 premis yang diperiksa di seluruh negara pada tahun lepas.

Katanya terdapat beberapa isu yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak termasuk badan penguatkuasaan, pengamal industri, profesional, pegawai keselamatan bangunan dan pemilik bangunan.

“Kita tidak mahu tragedi yang dahsyat meragut ratusan nyawa penghuni atau pengunjung premis dan kehilangan nilai aset yang tinggi.

“Banyak pengajaran dan iktibar yang perlu kita pelajari daripada kes kebakaran berprofil tinggi seperti Kebakaran Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru pada Oktober 2016 dan kebakaran di Grenfell Tower, London, pada Jun 2017,” katanya.

Menurut beliau, JBPM turut menerima 21,300 permohonan pelan akitektural dan pelan mekanikal elektrik bagi pembinaan dan pembangunan struktur baharu dan daripada jumlah tersebut hanya 12,355 diluluskan dan 8,945 gagal. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image