Azmin tolak kritikan, dakwa pasukannya mampu perkukuh Muafakat Nasional

PERMATANG PAUH: Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menolak kritikan bahawa pasukannya tidak berupaya mengukuhkan Muafakat Nasional untuk menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.

Azmin bagaimanapun berkata itu hanya pendapat peribadinya dan beliau kekal optimis bahawa dengan niat baik, usaha mereka untuk menyertai MN akan membuahkan hasil.

“Kita perlu mencari titik pertemuan kerana sekarang kita menghadapi cabaran getir. Bagi saya, keutamaannya adalah untuk mencapai kata sepakat.

“Ini kerana cabaran yang kita hadapi dapat diselesaikan jika kita bersikap terbuka untuk mencari perdamaian,“ kata Azmin yang juga bekas timbalan presiden PKR selepas menghadiri program Qurban Aidiladha 2020 di Yayasan An-Nahdhoh di sini hari ini.

Ahli Parlimen Gombak itu mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Umno Johor Nur Azlan Mohamed bahawa kumpulan wakil rakyat PKR yang mengikut jejak langkahnya dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak akan mengukuhkan Muafakat Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Turut hadir pada program itu ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin dan Timbalan Menteri Kementerian Pengajian Tinggi Datuk Mansor Othman. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image