PUTRAJAYA: Kerajaan akan memastikan Bajet 2023 berteraskan kesejahteraan dan kebajikan rakyat segenap lapisan masyarakat dengan mengambil kira cabaran yang bakal dihadapi tahun hadapan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata antara tumpuan utama dalam Bajet 2023 adalah untuk memastikan pemulihan pasca Covid-19 yang turut mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan rakyat serta kelangsungan perniagaan.

“Dalam menghadapi ketidaktentuan global, Bajet 2023 turut memberi tumpuan kepada golongan rakyat yang memerlukan bantuan dengan menambah baik sistem perlindungan sosial serta meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat melalui perkhidmatan kesihatan dan pendidikan berkualiti,“ katanya.

Berucap pada majlis penutupan Konsultasi Bajet 2023 di Kementerian Kewangan di sini hari ini, Ismail Sabri berkata kerajaan akan turut memberi tumpuan kepada persekitaran hidup yang selamat dan selesa dengan menitikberatkan pembangunan yang inklusif dan mampan.

“Ia bertujuan agar semua ahli Keluarga Malaysia dapat menikmati manfaat pembangunan negara pada masa kini dan hadapan tanpa mengira komuniti atau tempat tinggal,“ katanya.

Ismail Sabri berkata isu dan cabaran yang dibangkitkan dalam Konsultasi Bajet 2023 itu, yang difahamkan lebih daripada 3,000 isu dan 2,000 cadangan telah diterima, serta kaedah penyelesaian yang dicadangkan untuk menanganinya akan diperhalusi dan diteliti sewajarnya.

Cadangan itu termasuklah mengenai percukaian, pemberian subsidi dan perlindungan sosial, kelangsungan perniagaan dan kemampanan industri termasuk mengurang kos menjalankan perniagaan, dan meningkatkan pembangunan sumber manusia dan tenaga mahir, produktiviti, teknologi dan digitalisasi dalam perniagaan.

Beliau berkata terdapat juga cadangan untuk memperkukuh kerjasama pelbagai pihak untuk mempercepat pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan (SDG) menjelang 2030 di peringkat nasional. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image