GUA MUSANG: Kurang empat hari pembentangan Bajet 2023, masyarakat Orang Asli di daerah ini mengharapkan agar ada khabar gembira khususnya melibatkan penambahbaikan kemudahan infrastruktur di kawasan mereka.

Seorang penduduk Pos Pulat, Agi Angah, 41, berkata jalan perhubungan desa yang lebih baik antara keperluan utama masyarakat Orang Asli di pedalaman ketika ini.

“Laluan keluar masuk ke perkampungan kami perlu dinaik taraf dengan lebih baik memandangkan keadaan struktur jalan memberi impak kepada perbelanjaan kami.

“Sudah ramai di sini yang memiliki kereta, apabila kerap melalui jalan yang berbatu dan kawasan yang bertanah merah, ini menyebabkan kenderaan kami mudah rosak bahkan terpaksa menanggung kos membaiki kenderaan dengan lebih kerap,“ katanya ketika ditemui pemberita di Pos Pulat, di sini hari ini.

Bagi Bob Abu, 36, dari Pos Balar dia meminta jasa baik kerajaan untuk memberi perhatian terhadap keadaan jalan ke perkampungannya demi kemaslahatan dan keselesaan penduduk dan golongan pendidik yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Balar.

“Keadaan jalan merupakan isu utama yang kami hadapi terutamanya bila menjelang musim tengkujuh, jadi saya mohon dalam Bajet 2023 nanti kerajaan mengambil perhatian terhadap masalah ini,

“Selain Itu, saya juga berharap Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang diterima sebelum ini diteruskan lagi kerana ia sangat membantu meringankan beban kami,“ katanya.

Saranan mengenai BKM turut dipersetujui oleh Mila Ajis, 35, dari Pos Pulat yang memaklumkan walaupun tinggal jauh di kawasan pedalaman, peningkatan kos sara hidup turut dirasai masyarakat Orang Asli.

“Walaupun kami kebiasaannya bergantung dengan hasil tanaman dan sungai, kami masih perlu membeli makanan asas yang lain seperti beras, telur dan jarang-jarang sekali membeli ayam.

“Dengan BKM kami dapat membeli makanan lebih dari biasa dan akan membuat simpanan bekalan untuk kegunaan bulan akan datang” katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image