KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan peruntukan yang diumumkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menerusi pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat hari ini, akan difokuskan untuk memperkasa kualiti perkhidmatan kepada keluarga besar Malaysia.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani (gambar) berkata peruntukan dan inisiatif yang telah diumumkan itu disifatkan penting dalam memelihara ketenteraman dan keamanan negara.

Beliau berkata PDRM mengalu-alukan penubuhan Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC) yang diumumkan dalam pembentangan Bajet 2023 dengan menggabungkan kerjasama PDRM, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan National Anti-Financial Crime Centre.

“Usaha sama itu akan memberikan impak positif terhadap usaha kerajaan memerangi jenayah scam (penipuan) di Malaysia,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Hari ini, Tengku Zafrul mengumumkan peruntukan sebanyak RM18.3 bilion diberikan kepada Kementerian Dalam Negeri bagi memperkukuhkan ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Peruntukan itu termasuk RM431 juta untuk pembelian dan penyelenggaraan aset-aset PDRM, RM42 juta untuk membaik pulih dan menaik taraf kuarters kediaman PDRM serta penambahan 25 pos kawalan sempadan Pasukan Gerakan Am, Imigresen, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia antaranya di Serikin, Sarawak dan Lahad Datu di Sabah.

Selain itu, pemberian 50 peratus diskaun ke atas pengangkutan awam di bawah kendalian Prasarana kepada 21,000 pemegang kad pesara polis dan veteran Angkatan Tentera Malaysia di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Pulau Pinang. - Bernama