KUALA LUMPUR: Bajet 2023 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Bersama’ memberi tumpuan kepada segenap lapisan rakyat termasuk B40, M40, belia, wanita dan orang kurang upaya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata peruntukan yang disediakan melalui belanjawan itu adalah bercirikan keperluan rakyat di bandar mahupun di luar bandar.

“Bajet ini juga menumpukan kepada pemulihan ekonomi dan sebagai persediaan kita menghadapi keadaan ekonomi yang agak tidak menentu pada tahun hadapan,” katanya kepada pemberita selepas pembentangan Bajet 2023 di bangunan Parlimen, hari ini.

Bajet 2023 yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat memperuntukkan sejumlah RM372.3 bilion, yang merupakan peningkatan ketara berbanding belanjawan tahun lepas.

Ismail Sabri berkata Bajet 2023 itu turut memberi keutamaan kepada aspek pembangunan di Sabah dan Sarawak.

“Bukan sahaja projek-projek luar bandar tetapi juga untuk (Lebuh Raya) Pan Borneo dan sebagainya jelas disebutkan secara khusus tentang Sabah dan Sarawak,“ katanya.

Sabah dan Sarawak akan terus meraih manfaat besar daripada peruntukan pembangunan negara iaitu masing-masing sebanyak RM6.3 bilion dan RM5.4 bilion menerusi Bajet 2023, antaranya untuk melaksanakan projek infrastruktur air, elektrik, jalan raya, kesihatan dan kemudahan pendidikan.

Sementara itu, Perdana Menteri menerusi perkongsian di laman Facebook berkata Bajet 2023 memperlihatkan komitmen kerajaan menawarkan manfaat kepada Keluarga Malaysia serta manifestasi usaha kerajaan untuk kebangkitan negara menjadi sebuah negara yang unggul setelah mengharungi pelbagai krisis dan cabaran sebelum ini.

Beliau berharap usaha yang berterusan itu akan menjadikan Malaysia lebih sejahtera, aman, makmur dan Keluarga Malaysia mendapat penghidupan yang lebih berkualiti untuk hari-hari mendatang. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image