KUALA LUMPUR: Bakal jemaah haji Malaysia bagi musim 1444H/2023 wajib menjalani pemeriksaan kesihatan di klinik-klinik yang diiktiraf untuk memastikan kesihatan mereka berada pada tahap optimum.

Menurut kenyataan bersama Tabung Haji (TH) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketetapan itu adalah langkah berjaga-jaga bagi memastikan semua bakal jemaah haji Malaysia berada pada tahap kesihatan yang baik daripada segi fizikal dan mental untuk melaksanakan ibadat haji dengan sempurna.

Kenyataan itu menyebut Indeks Jisim Badan (BMI) bakal jemaah hendaklah tidak melebihi 40, penyakit kronik seperti hipertensi dan diabetes yang stabil, tiada penyakit serius seperti kanser, penyakit paru-paru yang kronik dan sebagainya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Haji TH Datuk Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dipetik sebagai berkata saringan kesihatan ketat pada musim haji lalu berkesan kerana peratusan jemaah haji yang mendapatkan rawatan pesakit luar dan dimasukkan ke dalam wad amat rendah berbanding tahun-tahun sebelum ini.

“Insya-Allah, surat tawaran haji akan dikeluarkan bermula 22 Mac (esok) dan semua bakal haji Malaysia boleh menyemak dan menjawab tawaran haji melalui www.thijari.com.my atau memuat naik aplikasi THiJARI bagi tujuan tersebut,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pula berkata pemeriksaan kesihatan bakal haji merupakan aktiviti penting KKM dengan kerjasama TH terhadap setiap bakal jemaah yang akan menunaikan fardu haji ke tanah suci setiap tahun.

Beliau berkata ibadat haji memerlukan kekuatan fizikal dan mental, maka aspek kesihatan harus dititikberatkan oleh semua bakal haji bermula dari tanah air lagi.

“Pemeriksaan kesihatan adalah satu langkah positif agar semua jemaah haji Malaysia mempunyai tahap kesihatan baik kerana ibadat haji melibatkan jutaan jemaah dari seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan sama.

Dr Noor Hisham turut menasihati jemaah haji supaya sentiasa menjaga kebersihan diri, memakai pelitup muka semasa berada di tempat sesak, mengelak daripada berhubung dengan individu yang bergejala dan menjalani ujian RTK-Ag Covid-19 kendiri sekiranya mendapati diri bergejala.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan TH boleh melayari www.tabunghaji.gov.my atau menghubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-62071919. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image