KUALA LUMPUR: Bangunan lama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Gasing, Petaling Jaya, di sini, terbakar buat kali kedua selepas insiden sama pada 2018.

Penolong Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Hafisham Mohd Noor berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 10.39 pagi tadi dan tiba di lokasi kira-kira enam minit kemudian.

Beliau berkata lebih 20 anggota dikerahkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seksyen 7, BBP Serdang, BBP Puchong, BBP Pantai Dalam dan BBP Hang Tuah.

“Bangunan terbakar berkenaan hanya melibatkan tingkat 4 dan tingkat 5. Kami berjaya mengawal api pada 11.08 pagi hari ini.

“Alhamdulillah, bangunan KWSP lama itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian hari ini.

Hafisham berkata bangunan KWSP berkenaan telah dikosongkan sebelum ini dan kini sedang diubah suai.

Katanya, setakat ini siasatan mendapati hanya peralatan kontraktor yang terbakar dalam insiden berkenaan.

Sementara itu, Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP mengesahkan kejadian itu.

“Bangunan itu kini kosong dan tidak berpenghuni dan tiada kecederaan dilaporkan buat masa ini,” menurut jabatan itu dalam kenyataan hari ini. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image