JOHOR BAHRU: Sebanyak 5,925 tan metrik sisa sampah akibat banjir dikutip di negeri ini sejak 3 Mac sehingga semalam dengan Segamat daerah paling tertinggi jumlah kutipan.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata jumlah kutipan akan terus meningkat berikutan operasi pembersihan dijangka selesai pada hujung bulan ini.

Beliau berkata operasi pembersihan di Segamat telah selesai sepenuhnya pada 19 Mac lepas manakala Batu Pahat dijangka pada hari ini.

“Kami jangkakan operasi pembersihan pascabanjir (secara keseluruhan) selesai sehingga hujung bulan ini, bagi memastikan kesan-kesan lumpur atau sisa yang menghalang aliran air di kawasan terjejas banjir turut dibantu dibersihkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program SWM Kasih Back To School, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah SWCorp Johor Rafidah Mohamed dan Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn Bhd Mohd Norlisam Mohd Nordin.

Akmal Nasrullah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai jumlah kutipan sisa sampah akibat banjir di Johor.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata operasi pembersihan dilakukan secara berfasa dan sebanyak enam tapak pelupusan sementara juga telah diwujudkan sebelum sampah dibawa ke tapak pelupusan sebenar bagi memastikan operasi pembersihan dapat dilakukan dengan kadar segera.

Beliau berkata syarikat konsesi tersebut turut membantu kawasan kampung yang terjejas banjir dan tidak berada dalam kawasan perkhidmatan menerusi operasi pembersihan itu.

Sementara itu, mengenai operasi bazar Ramadan di Johor, Mohd Norlisam menyeru penganjur dan pengusaha agar memanfaatkan tong sampah yang disediakan bagi melancarkan operasi pembersihan.

Beliau berkata perkhidmatan operasi pembersihan melibatkan kesemua 112 lokasi bazar Ramadan di Johor.

“Kami seru orang ramai terutama ketika persiapan raya, sudah pasti akan ada berlaku pembelian barangan, jadi kami minta kutipan yang dibuat dimanfaatkan dan sampah diletakkan di hadapan rumah.

“Kalau boleh jangan dilonggokkan di hujung taman perumahan atau mewujudkan tapak sampah haram,” katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image