KUALA TERENGGANU: Jumlah mangsa banjir di Terengganu tidak banyak berubah dengan 39 orang daripada lapan keluarga berada di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8 pagi ini berbanding 34 orang daripada tujuh keluarga, pada 4 petang semalam.

PPS terlibat ialah di daerah Kuala Terengganu dan dua di daerah Kuala Nerus.

Menurut kenyataan dikeluarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, PPS di Kuala Terengganu melibatkan Sekolah Kebangsaan Atas Tol yang menempatkan 13 mangsa daripada tiga keluarga.

Dua PPS di Setiu pula ialah SK Kompleks Mengabang Telipot yang menempatkan 20 orang (empat keluarga) dan Surau Mak Jintan (enam sekeluarga).

Walaupun banjir semakin pulih di Terengganu, kesemua mangsa di tiga PPS itu tidak dibenarkan pulang kerana rumah mereka masih digenangi air akibat hujan lebat, baru-baru ini.

Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan hanya Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu menunjukkan bacaan setinggi 12.03 meter (m) melebihi paras amaran 12m.

Di daerah Hulu Terengganu pula, bacaan di Empangan Tembat setinggi 430.41m berbanding paras amaran 430m. Kedua-duanya menunjukkan trend penurunan. - Bernama