KUALA LUMPUR: Situasi banjir pada petang ini menyaksikan Pahang kembali terjejas manakala Johor menunjukkan perkembangan positif dan keadaan di Sabah pulih sepenuhnya.

Di Pahang, hujan lebat berterusan sejak malam tadi menyebabkan beberapa kawasan di Kuantan dinaiki air seterusnya enam pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang melaporkan seramai 1,310 orang daripada 342 keluarga ditempatkan di PPS terlibat dengan mangsa paling ramai di PPS Dewan Dato’ Manan iaitu 560 orang.

PPS lain ialah PPS Wisma Belia dengan 300 orang, PPS Dewan Orang Ramai Taman Tas (220), PPS Dewan Orang Ramai Sri Mahkota (143), PPS Dewan Orang Ramai Sri Damai (57) dan PPS Dewan Orang Ramai Jaya Gading (30).

Laman web publicinfobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan Sungai Kuantan di Bukit Kenau dan Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan melebihi paras bahaya.

Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pula meramalkan Kuantan mengalami hujan lebat sepanjang hari sehingga esok.

Pekan Sungai Lembing di sini, dilanda banjir kilat selama hampir 10 jam bermula pukul 4.30 pagi tadi ekoran air Sungai Lembing yang melimpah sehingga ke jalan utama di pekan tersebut.

Sementara itu, di Johor, jumlah mangsa terus menurun kepada 355 orang setakat 4 petang ini, berbanding 420 orang pada 8 pagi susulan banjir termenung di daerah Batu Pahat dan Segamat.

Menurut JPBN Johor, jumlah mangsa di Batu Pahat adalah seramai 329 orang daripada 90 keluarga yang berlindung di empat PPS manakala Segamat merekodkan 26 orang daripada sembilan keluarga di sebuah PPS.

JPBN juga memaklumkan keadaan cuaca di tujuh daerah diramalkan cerah petang ini kecuali Mersing, Pontian dan Kluang yang dijangka mendung.

Di Sabah, semua mangsa banjir telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada 4 petang tadi dengan PPS terakhir iaitu Dewan Serbaguna Selagon di Beaufort yang sebelum ini menempatkan 46 orang daripada 12 keluarga ditutup. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image