Banjir kilat di Negeri Sembilan pulih, PPS terakhir di Seremban ditutup

SEREMBAN: Pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di Negeri Sembilan ditutup pada 4.30 petang ini selepas banjir kilat yang melanda negeri itu semalam pulih.

Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, ini bermakna tiga PPS yang beroperasi sejak semalam telah ditutup sepenuhnya.

“Semalam terdapat tiga PPS dibuka tetapi dua daripadanya iaitu PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Jimah dan PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Tanah Merah Site C di Port Dickson telah ditutup pukul 12 tengah hari tadi.

“PPS SK Sega, Seremban yang menempatkan seramai 24 orang daripada lima keluarga dari Kampung Sega Hulu dan Kampung Sega Hilir merupakan PPS ketiga dan yang terakhir ditutup susulan keadaan banjir yang mulai surut dan mangsa telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” katanya.

Semalam, seramai 308 mangsa daripada 72 keluarga terjejas akibat banjir kilat yang melanda lima kampung di Port Dickson dan Seremban dan daripada jumlah itu, sejumlah 138 orang ditempatkan di tiga PPS berkenaan manakala bakinya berpindah ke rumah keluarga terdekat. – Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image