KUANTAN: Sebanyak 8,000 penjawat awam Pahang menerima Bantuan Khas Kewangan sebanyak satu setengah bulan gaji dengan pembayaran akan dibuat menerusi dua transkasi, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata bayaran sebanyak satu bulan gaji akan dikreditkan pada tahun ini manakala bakinya dibayar pada Januari 2023, dengan pemberian ‘bonus’ itu melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM33 juta.

“(Bantuan ini) adalah sebagai penghargaan selain kerajaan negeri tidak pernah melupakan jasa serta komitmen penjawat awam Pahang dalam memastikan agenda pembangunan negeri dan masyarakat dapat dicapai,“ katanya semasa membentangkan Belanjawan Pahang 2023 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Pada pembentangan belanjawan bertemakan ‘Negeri Stabil, Rakyat Sejahtera’ itu, Wan Rosdy juga memaklumkan kerajaan negeri berjaya mengutip hasil sebanyak RM1.027 bilion setakat 6 Okt lepas, yang disifatkan ‘pencapaian sangat dibanggakan’ kerana julung kalinya angka tersebut dicapai.

Hasil yang diperoleh itu, menurut Wan Rosdy wajar dikembalikan kepada rakyat dengan kerajaan negeri menggariskan lapan inisiatif utama berkaitan kebajikan dan keperluan rakyat seperti perumahan supaya semua penduduk dapat memiliki kediaman sendiri.

Selain meneruskan inisiatif perumahan sedia ada, kerajaan negeri akan melaksanakan Projek Rumah Mesra Pahang (RMP) tahun hadapan yang menawarkan diskaun 20 peratus daripada RM75,000 harga rumah, selain mengekalkan harga jualan Rumah Makmur Pahang dan Rumah PR1MA Pahang walaupun berlaku kenaikan harga bahan binaan.

Kerajaan negeri juga bersetuju mengambil alih usaha membaik pulih 10 tapak projek Perumahan Generasi Baharu FELDA yang terbengkalai, menerusi usahasama pemaju swasta dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) melibatkan 1,850 unit rumah dengan harga RM125,000 seunit.

Bagi kebajikan warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU), antara inisiatif akan dilaksanakan ialah Program Khidmat Bantu di Rumah dengan peruntukan RM1 juta, mewujudkan Geran Pembangunan dan Insentif Khas OKU Negeri (RM850,000), mewujudkan program khusus bersama institusi pengajian tinggi negeri untuk golongan OKU (RM1 juta) dan pembelian al-Quran Braille (RM1.2 juta).

“Sumbangan one-off sebanyak RM250 akan diberikan kepada 300 penyelia dan petugas Program Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) sebagai penghargaan kepada mereka yang memikul tanggungjawab besar itu,“ katanya.

Wan Rosdy berkata Pusat Pengembangan Keusahawanan Wanita Pahang juga akan diwujudkan di Kuantan, Maran, Temerloh dan Lipis dengan peruntukan RM1 juta, selain perkhidmatan ujian mamogram percuma diberikan kepada 6,000 wanita B40 dan M40 serta peruntukan RM500,000 bagi menangani isu kemiskinan haid remaja wanita.

Wan Rosdy berkata sebanyak RM12.32 juta telah diperuntukan bagi meningkatkan taraf hidup Orang Asli di Pahang pada tahun ini, dengan lebih banyak perancangan akan dilaksanakan tahun depan antaranya RM7.5 juta untuk menyediakan rumah, pelaksanaan projek pembekalan air ke 33 kampung Orang Asli (RM1 juta), naik taraf kampung (RM1.21 juta) dan baik pulih rumah (RM1.5 juta).

“Insentif Perkahwinan Pertama diperluaskan kepada golongan Orang Asli dengan setiap pasangan menerima sagu hati RM300. Program PEDULI Orang Asli akan diperkenalkan pada 2023 melibatkan peruntukan RM200,000 yang menyasarkan 50 peratus daripada keseluruhan pelajar Orang Asli dibantu menyambung pengajian ke peringkat universiti,“ katanya.

Selain itu, Wan Rosdy juga mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi pelaksanaan Program Berkhatan Anak Pahang kepada 3,500 kanak-kanak daripada golongan B40 berusia bawah 12 tahun, selain peruntukan RM42.4 juta diberikan untuk pelaksanaan Bantuan Prihatin Pahang 2023 yang akan memanfaatkan lebih 200,000 penerima. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image